Sunday 18 December 2016

Tanpa

Program OASIS (Omarian Aspirational International Synergy)

Alhamdulillah, aku berjaya mendapat tajaan daripada sebuah kedai kerepek
Tidak lama dahulu, aku telah diwhatsapp oleh salah seorang MEP Kolej Ungku Omar berkenaan sebuah program mobiliti anjuran kolej kami. Benar, program mobiliti ini bukanlah sesuatu yang aku baru pertama kali dengar. Sebenarnya aku memang ada mendaftar untuk sesi temu duga bagi program ini. Namun aku telah jatuh sakit dan tidak dapat menghadirkan diri ke sesi temu duga tersebut.

Jadi aku sememangnya telah melupakan peluang untuk menyertai program tersebut dan berhasrat untuk mengikuti program mobiliti pada semester depan. Akan tetapi, dalam whatsapp yang dihantar oleh MEP tersebut ialah tawaran buat aku mengikuti program mobiliti tersebut tanpa perlu melalui sebarang sesi temu duga. Ini benar-benar ialah sebuah berita yang membuatkan aku gembira sepanjang hari.

Sebenarnya aku hanya pernah ke Filipina. Selain itu, aku tidak pernah lagi ke mana-mana negara luar. Jadi aku ingin menimba pengalaman sebaiknya apabila berinteraksi dengan orang-orang di luar sana. Aku sangat percaya bahawa semakin tinggi penglihatan seseorang itu, maka semakin jelas penglihatannya terhadap sistem dunia sedang berjalan sekarang. Maksud “tinggi” ini ialah apabila kita banyak berkolaborasi dengan negara-negara luar, lama kelamaan pandangan kita sama sekali tidak lagi setara.
Sesi temu bual di radio wanita4u.fm
Banyak perkara baru yang telah aku lakukan dalam usaha untuk menjayakan program ini. Buat pertama kalinya aku telah menghantar e-mel sendiri kepada pihak Jepun untuk mengadakan lawatan ke universiti-universiti dan tempat-tempat industri di sana. Aku juga telah belajar cara-cara membuat aktiviti pemasaran yang bertujuan untuk mendapatkan tajaan dalam bentuk kewangan mahupun barangan.

Selain itu juga aku telah ditugaskan untuk ke stesen radio dan menghadiri sesi temu bual. Mungkin ini bukanlah sebuah radio stesen yang dikenali ramai. Akan tetapi ia adalah sebuah stesen radio online iaitu wanita4u.fm. Banyak perjumpaan-perjumpaan yang telah dilakukan sehingga ke lewat malam. Jujur memang memenatkan. Akan tetapi aku tahu aktiviti ini akan memberi pengalaman yang hebat yang mampu menjadikan aku seseorang yang berkebolehan dalam pelbagai bidang kerja.  


Si Angsa.

No comments:

Post a Comment