Sunday 18 December 2016

Penjelasan

Malam persembahan nasyid hasil kumpulan kami, Soul Asy-Syabab
Keputusan aku memasuki kelas Citra Nasyid di UKM telah memberikan aku sebuah penjelasan bahawa sebenarnya kelas Citra yang disyorkan kepada mahasiswa dan mahasiswi UKM untuk sertai ialah kelas yang mana pelajar tersebut telah mempunyai bakat, kemahiran dalam bidang tersebut untuk memperoleh gred pointer yang cemerlang. Jika anda tidak mempunyai sebarang bakat, jujur aku katakan ia sukar. Tapi nasihat ini disyorkan kepada anda di luar sana yang mungkin tidak ambil banyak jam kredit dalam satu-satu semester tersebut.

Hal ini kerana jujur aku katakan aku agak tertekan kerana aku tidak mempunyai sebarang latar belakang nyanyian. Teknik dan pengaplikasian nyanyian sama sekali aku tidak tahu. Hal ini bertambah parah apabila semua ahli kumpulan aku adalah yang senasib dengan diriku ini. Sangkaan aku salah selama ini. Aku menyangka bahawa kami semua akan diajar terlebih dahulu dengan baik dan seterusnya baru akan diberikan tugasan. Rupa-rupanya bukan begitu. Mungkin juga hal ini hanya berlaku pada kelas aku. Hurm… Aku tidak pasti.

Meskipun begitu, walaupun sukar bagi kami sekumpulan sebenarnya untuk menghasilkan lirik, melodi dan gaya nasyid sendiri. Namun ianya seperti mencabar kelaziman pada diri sendiri. Bila difikir-fikirkan, seronok sebenarnya belajar benda baru ni. Cuma, itulah bila aku teringatkan pointer yang mungkin akan terjejas kerana mendaftar di kelas ini, aku mula resah gelisah. Tapi tidak mengapalah, usaha telah pun kami sekumpulan letakkan. Sebarang keputusan yang bakal aku peroleh nanti, aku akan terima selapangnya. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Aku benar-benar berharap bahawa gred pointer aku tidak teruk dan menjejaskan pointer keseluruhan aku untuk semester ini. Dalam kesempatan ini juga aku ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UKM yang bakal berhadapan dengan peperiksaan akhir semester. Semoga kita semua tidak leka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan lebih fokus pada apa yang bakal mendatang. Ingatlah, peluang sememangnya akan datang berkali-kali, namun peluang yang sama tidak akan datang berkali-kali. 


Si Angsa.

Tanpa

Program OASIS (Omarian Aspirational International Synergy)

Alhamdulillah, aku berjaya mendapat tajaan daripada sebuah kedai kerepek
Tidak lama dahulu, aku telah diwhatsapp oleh salah seorang MEP Kolej Ungku Omar berkenaan sebuah program mobiliti anjuran kolej kami. Benar, program mobiliti ini bukanlah sesuatu yang aku baru pertama kali dengar. Sebenarnya aku memang ada mendaftar untuk sesi temu duga bagi program ini. Namun aku telah jatuh sakit dan tidak dapat menghadirkan diri ke sesi temu duga tersebut.

Jadi aku sememangnya telah melupakan peluang untuk menyertai program tersebut dan berhasrat untuk mengikuti program mobiliti pada semester depan. Akan tetapi, dalam whatsapp yang dihantar oleh MEP tersebut ialah tawaran buat aku mengikuti program mobiliti tersebut tanpa perlu melalui sebarang sesi temu duga. Ini benar-benar ialah sebuah berita yang membuatkan aku gembira sepanjang hari.

Sebenarnya aku hanya pernah ke Filipina. Selain itu, aku tidak pernah lagi ke mana-mana negara luar. Jadi aku ingin menimba pengalaman sebaiknya apabila berinteraksi dengan orang-orang di luar sana. Aku sangat percaya bahawa semakin tinggi penglihatan seseorang itu, maka semakin jelas penglihatannya terhadap sistem dunia sedang berjalan sekarang. Maksud “tinggi” ini ialah apabila kita banyak berkolaborasi dengan negara-negara luar, lama kelamaan pandangan kita sama sekali tidak lagi setara.
Sesi temu bual di radio wanita4u.fm
Banyak perkara baru yang telah aku lakukan dalam usaha untuk menjayakan program ini. Buat pertama kalinya aku telah menghantar e-mel sendiri kepada pihak Jepun untuk mengadakan lawatan ke universiti-universiti dan tempat-tempat industri di sana. Aku juga telah belajar cara-cara membuat aktiviti pemasaran yang bertujuan untuk mendapatkan tajaan dalam bentuk kewangan mahupun barangan.

Selain itu juga aku telah ditugaskan untuk ke stesen radio dan menghadiri sesi temu bual. Mungkin ini bukanlah sebuah radio stesen yang dikenali ramai. Akan tetapi ia adalah sebuah stesen radio online iaitu wanita4u.fm. Banyak perjumpaan-perjumpaan yang telah dilakukan sehingga ke lewat malam. Jujur memang memenatkan. Akan tetapi aku tahu aktiviti ini akan memberi pengalaman yang hebat yang mampu menjadikan aku seseorang yang berkebolehan dalam pelbagai bidang kerja.  


Si Angsa.

Terbongkar

Gambar keputusan peperiksaan Mid Semester bagi subjek Prinsip Perakaunan
Pada 16 Disember 2016 yang lalu, satu perkara telah terbongkar dan benar-benar membuatkan aku teruja untuk mengetahuinya. Sesuatu yang sudah lama aku pendamkan untuk tahu. Tiba-tiba pada hari itu, kebenaran terbongkar tanpa memerlukan usaha dari diriku ini untuk mencarinya. Apakah perkara yang aku nantikan itu? Perkara itu ialah…. keputusan peperiksaan pertengahan yang lepas.

Pada petang tersebut, pensyarah Prinsip Perakaunan telah memuat naik keputusan peperiksaan pertengahan di iFolio, sebuah sistem yang memudahkan urusan pembelajaran di UKM. Sebenarnya dalam banyak-banyak peperiksaan yang aku duduki, peperiksaan akaun lah yang paling aku berdebar.

Dalam perjalanan ke perpustakaan untuk belajar Perakaunan
Sebenarnya bagi aku yang berlatarbelakangkan pelajar Sains Tulen, subjek ini agak sukar. Lebih-lebih lagi belajar bersama kelompok semua pelajar yang telah pun mempunyai asas perakaunan. Sebenarnya, tanpa diduga aku telah mendapat B untuk kertas akaun tersebut. Aku tidak tahu apa yang nak dirasakan.

Adakah keputusan ini ialah keputusan yang patut aku raikan dan banggakan? Atau aku sepatutnya perlu berkeluh kesah? Aku pun tidak pasti ingin meletakkan kepuasan di tahapan yang mana. Azam aku adalah untuk buat yang lebih baik lagi di peperiksaan akhir tahun. Doakan aku sahabat-sahabat semua. 


Si Angsa.


Sebenar

Sesi penggambaran di NU Sentral
Aku umpama diberi peluang untuk mengenali serba sedikit tentang dunia sebenar lakonan apabila diberi tugasan untuk menghasilkan sebuah video PSA (Public Service Announcement) selama 5 minit. Pelbagai perkara yang kami lalui sepanjang pembikinan. Salah satu darinya ialah tiba-tiba salah seorang ahli berjaya mendapat pindahan kredit. Jadi daripada 4 orang, kini kami hanya tinggal 3 orang. Namun, disebabkan semangat berkumpulan yang mungkin agak tinggi sahabat aku yang seorang tu bersetuju untuk membantu kami bertiga untuk pembikinan video ini.

Jadi sewaktu meeting brainstorming kami, kami datang dengan idea dan pada hujung minggu itu juga kami telah keluar ke NU Sentral untuk memulakan penggambaran video kami. Sebenarnya idea kami memerlukan banyak kepada adegan-adegan mesra antara suami isteri. Alhamdulillah, adik salah seorang ahli kumpulan kami belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan jaraknya agak berdekatan dari NU Sentral. Adiknya telah bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada pembikinan video ini.

Kami meneruskan penggambaran  dengan lancar tetapi kami telah melakukan beberapa kesilapan apabila terdapat beberapa adegan yang kami terlepas pandang dan hal ini mengakibatkan struktur cerita kami lari. Oleh kerana kami sukar mendapatkan semula adik sahabat kami itu, kerja-kerja lanjut pembikinan video telah tertangguh. Sebenarnya kami ada membuat “backup plan” tapi adegan tersebut tidak mencapai penilaian yang kami semua inginkan. Jadi akhirnya, kami dapat juga mendapatkan adik sahabat kami itu dan meneruskan lagi penggambaran.

Tahukah anda sebenarnya dalam lakonan, pelakon perlu mengulang berkali-kali satu-satu adegan kerana memerlukan reaksi daripada pelbagai sudut. Jujur saya katakan saya gembira sepanjang pembikinan video ini. Ia benar-benar menguji daya kreativiti kepengarahan kami semua. Cuma aku kecewa apabila diri ini tidak mahir dalam hal-hal suntingan video. Sebenarnya hanya seorang sahaja yang agak pakar dalam hal-hal suntingan. Jadi ini sebenarnya salah satu punca yang menyulitkan kelancaran pembikinan video ini.

Pesanan dan nasihat saya kepada sesiapa sahaja yang sedang membaca entri ini agar memantapkan diri anda dengan kemahiran-kemahiran IT. Percayalah ia bakal berguna untuk anda. Jika bukan sekarang, pasti akan datang. Percayalah…


Si Angsa.

Hakikat

Barisan ahli Majlis Tertinggi SPTS
Hakikat yang sukar dipercayai apabila aku telah menjadi salah seorang yang terpilih untuk menyertai Sekretariat Pelajar Tahun Satu (SPTS) antara 190 lebih pelajar lain yang menghadiri temu duga. Perasaannya sama seperti waktu aku dapat tahu yang aku salah seorang yang terpilih daripada ramai orang yang telah menghadiri uji bakat drama patriotisme bagi pertandingan peringkat negeri. Haha. Waktu tu jahil lagi. Hahaha. Tahu apa yang lebih mengejutkan lagi, daripada permohonan aku yang ingin menjadi ahli Exco Hal Antarabangsa dan Korporat, tiba-tiba dipilih menjadi Timbalan Eksekutif. Ini benar-benar hakikat yang sukar untuk aku hadam.
Jadi, tugas pertama yang perlu kami lakukan ialah untuk mengadakan Dinner SPTS yang mana melibatkan semua ahli PMFEP dan juga SPTS. Dinner ini bertujuan untuk memperkenalkan barisan SPTS yang baru dilantik kepada PMFEP dan juga untuk mengeratkan lagi hubungan antara PMFEP dan SPTS. Alhamdulillah… dinner tersebut berlangsung dengan lancar. Cuma kami mempunyai banyak makanan berlebih dan aku sebagai Majlis Tertinggi yang menjaga AJK Makanan sama sekali berasa amat bersalah. Kami banyak menggunakan konsep potluck yang mana ahli SPTS membawa makanan sebagai tajaan untuk dinner tersebut. Namun aku tetap kesal dengan apa yang berlaku.

Grand Dinner FEP yang telah diadakan di Bangi Golf Resort

Tugas kedua kami pula ialah untuk menjadi AJK yang bekerjasama dengan ahli PMFEP dalam menjayakan Grand DInner FEP 2016. Banyak gerak kerja telah pun dibuat terlebih dahulu. Jadi kehadiran kami sebagai AJK adalah untuk melancarkan dan melaksanakan gerak kerja yang telah pun dibuat. Namun sebenarnya aku kesal. Sepanjang minggu perkampungan Grand Dinner aku tak dapat menghadirkan diri kerana banyak tugas-tugas aku di Program Mobiliti ke Tokyo tertangguh kerana minggu presentation, interview dan dinner aku berlangsung pada minggu yang sama.

Jujur aku katakan, mungkin aku perlu lebih efisien dalam melakukan satu-satu tugas ataupun mengatur kerja kumpulan dengan lebih baik agar sebarang kerja kumpulan kuliah tidak dibebankan pada seseorang individu sahaja. Jujur aku katakan kerja berkumpulan di fasa universiti lebih sukar berbanding di tempat-tempat belajar yang sebelum ini. Selain itu juga, aku perlu lebih bertanggungjawab atas tanggungjawab yang aku pikul dan menerima hakikat sebagai salah seorang ahli SPTS sepenuhnya. Tanggungjawab adalah sesuatu yang perlu dipikul dengan baik. Jika tidak, kita bakal disoal di akhirat kelak. 


Si Angsa.


Dan

Sewaktu pertama kali menonton teater di Istana Budaya
Dan akhirnya jarak antara aku dan dia semakin jauh. Itulah si dia yang cukup istimewa pada aku saat ini dan juga pada masa-masa akan datang, inshaAllah… Bermula daripada seorang sahabat yang cukup baik dan tidak pernah lokek dengan masanya untuk membantu aku dalam apa jua keadaan, kini berjaya mendapat tempat di hatiku sebagai seseorang yang istimewa. Tahap istimewa yang macam mana yang aku maksudkan? Hurm… biarlah ia menjadi sesuatu yang aku dan Allah sahaja yang tahu.

Kenapa dia seseorang yang istimewa? Hal ini kerana dia seorang yang sangat sabar dalam menerima apa sahaja karenah-karenah pelik dan bukan-bukan yang datang dari diri aku. Kami berkenalan di Kolej Mara Banting (KMB). Sama-sama belajar dan dikira mentor aku untuk subjek Mikroekonomi. Tapi, kami datang dari jurusan yang berbeza semasa di KMB. Aku ialah seorang pelajar jurusan kejuruteraan, manakala dia ialah pelajar jurusan ekonomi.

Saat dia terbang ke UK
Aku sangkakan, setelah tamat pengajian di KMB, maka di situ jugalah pengakhiran kepada persahabatan yang telah terbina ni. Ialah, rumah pun tak dekat. Seorang tinggal di Senawang dan seorang lagi tinggal di Kajang. OK mungkinlah tak berakhir, tapi persahabatan tu aku jangkakan menjadi bertambah renggang. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kami bertambah rapat setelah tamat KMB mungkin sebab mak ayah dah mula kenal. Dia pun pernah datang rumah waktu raya dan waktu-waktu lain.

Apa yang lebih istimewa tentang dia ni ialah dia ni seseorang yang boleh masuk dalam bulatan kenalan-kenalan aku. Baik dari keluarga sehinggalah rakan-rakan mama dan sahabat-sahabat baik aku yang sejak sekolah rendah lagi. Hal ini telah menjadikan kami selesa berkenalan. Tapi sedih, kerana sekarang dia berada di UK untuk menyambung pelajaran. Tapi, tidak mengapalah. Mungkin inilah peluang untuk kami berdua memberi peluang kepada diri masing-masing untuk lebih mengenali orang lain di sekeliling kami dan menguji hati masing-masing.

Semoga atas segala kebaikan yang dia telah lakukan terhadap diriku bakal dibalas dengan lebih banyak kebaikan pada dirinya. Sedih, rindu.. sebab kami dah tidak punya kesempatan untuk meluangkan masa bersama. Namun begitu, berada dalam era modenisasi ini, jarak tidak menjadi alasan ataupun penghalang kepada sesuatu perhubungan lagi kerana kita ada Skype, Free Voice Call dan Video Call di Whatsapp. Hargailah setiap orang yang telah banyak berjasa pada diri kita. Semoga dia yang dimaksudkan sentiasa dalam rahmatNya. Saya sayang awak.


Si Angsa.

Takut

Sebelum pendakian bermula
Adakah anda semua pernah berpersatuan di bawah persatuan anak negeri? Buat pertama kalinya aku telah memberanikan diri untuk mendaftar sebagai salah seorang ahli kelab PERMANIS (Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan). Sebenarnya aku bukanlah orang yang semangat kenegerian. Malah cakap loghat nogoghi pun aku tak reti. Haha. Kelakar sikitlah. Disebabkan itulah aku merasakan persatuan ini adalah tempat yang terbaik untuk aku menambah kenalan kawan-kawan yang tinggal di Negeri Sembilan.

Sebenarnya, kawan-kawan aku yang tinggal di Negeri Sembilan ialah kawan-kawan dari sekolah rendah. Hal ini kerana aku sebenarnya dahulu belajar di sebuah sekolah SBP di Cyberjaya. Jadi bila telah masuk asrama ni, kawan-kawan semuanya berasal dari seluruh pelosok Malaysia. Jadi kalau balik rumah untuk cuti semester tu, memang tak ada kawan lain lagi yang aku akan cari kalau bukan kawan-kawan sekolah rendah. Mungkin bermula daripada sini aku telah berjaya memecahkan tembok kenegerian dalam diri sendiri dan memandang kehidupan dari perspektif yang lebih luas. Jadi, lama-kelamaan aku merasakan aku ingin menambah kenalan-kenalan aku di Negeri Sembilan. Dengan ini, pasti tidak akan ada masalah aku yang kebosanan setiap kali balik cuti semester.

Di puncak Gunung Angsi
Aktiviti pertama PERMANIS yang mana pelajar tahun 1 boleh turut serta ialah aktiviti mendaki Gunung Angsi yang terletak di Negeri Sembilan. Aku yang dah lama tinggal di Negeri Sembilan ni pun belum pernah lagi menjejakkan kaki ke sini. Oleh itu, aku segera mengambil peluang yang ada dan alhamdulillah aku berjaya mendapatkan tempat. Macam biasalah, semua aktiviti yang aku sertai jarang nak ada partner atau geng yang daftar sama-sama. Mungkin belum jumpa geng lagi kat UKM ni. Maklumlah, aku ni tinggal bilik sorang-sorang. Sebabnya, roommate aku orang Bangi je, jadi dia tinggal di rumah untuk jaga mak dia. Dia ada kata yang dia tiada ayah. Cuma aku tak pernah berani tanya kenapa tiada ayah? Tak berani… takut itu soalan yang sensitif. Jadi sebenarnya, aku macam dah terbiasa hidup sorang-sorang kat UKM ni.

Pendakian aku kat gunung angsi adalah pendakian yang menakutkan. Jujur, takut. Terutamanya bila nak turun dari gunung tu. Curamnyaaa…!!! Kaki ni terketar-ketar sebab takut punya fasal. Yelah, dalam kepala ni dah duk berimaginasi yang bukan-bukan. Terguling-gulinglah, tejatuh seluar terkoyaklah dan macam-macam lagi. Tapi apa yang aku benar-benar suka tentang berada dalam ketakutan ialah situasi ni selalu mengingatkan aku terhadap pergantungan aku pada siapa. Adakah pada tapak kasut yang aku pakai ataupun pada struktur tanah Gunung Angsi? Ataupun sebenarnya pergantungan aku pada Allah? Hebatkan situasi takut ni. Jadi sahabat-sahabat, dalam apa keadaan sekalipun yang kita diletakkan, ingatlah bahawa Allah adalah sebaik-baik tempat bergantung kerana tidak ada selain yang baik melainkan hanya yang baik-baik belaka datang dariNya. 



Si Angsa.

Mereka

Gambar Skype kami berlima
Baru-baru ini aku telah berSkype dengan 4 sahabat yang cukup istimewa dalam hidup aku. Sebenarnya kami semua ni dah pun berpisah semenjak sekolah menengah lagi. Semua pun belajar di tempat yang lain-lain. Selalu berhasrat untuk dapat Skype sama-sama. Tapi kalau Skype je, mesti ada yang tak cukup. Jadi baru-baru ini, buat julung-julung kalinya kami semua berjaya Skype bersama. Jujur, aku sangat gembira. Lebih-lebih lagi apabila masing-masing menceritakan kehidupan terkii masing-masing. Sedih.. sebab terasa semua dah besar. Namun, dalam masa yang sama aku bangga kerana persahabatan kami telah berkekalan selama 10 tahun.

Meskipun kini telah ada dua daripada kami telah pun berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, alhamdulillah.. kami masih lagi bersahabat. Disebabkan persahabatan inilah, aku mempunyai prinsip dalam hidupku bahawa sekiranya ingin mengekalkan satu-satu persahabatan itu, adalah lebih baik sekiranya sahabat tersebut diperkenalkan kepada ahli keluarga kita. Tidak kiralah perempuan mahupun lelaki. Begitu juga diri kita sendiri. Berkenal-kenallah dengan keluarga sahabat anda kerana persahabatan yang direstui ibu bapa adalah persahabatan yang penuh dengan keberkatan.

Gambar kami berlima sewaktu sekolah rendah
Sebenarnya, salah satu faktor yang mengukuhkan persahabatan kami adalah kerana rumah kami semua adalah berdekatan. Oleh itu, jika ada sahaja cuti semester yang panjang pasti kami akan mengambil peluang untuk bersua dan mulalah gelak dan tawa dari mula berjumpa sampai lah nak balik ke rumah masing-masing. Kami berSkype dalam keadaan seorang sekarang berada di France, seorang berada di Ireland, seorang berada di UTP, seorang berada di UiTM Pasir Gudang dan aku yang berada di UKM. Memang mantaplah...!!

Sayangilah sahabat-sahabat kita semuanya dan santunilah mereka dengan sebaik mungkin. Perbanyakkan amal kebaikan dengan berbuat baik terhadap rakan-rakan sekeliling. Jangan membebankan rakan-rakan dan memnyakitkan hati dan perasaan mereka. Saling menegur dan memperingatkan dengan kebenaran dan dengan sabar, seperti yang tertulis di dalam surah al-Asr. Sebuah surah yang sering kita baca tapi mungkin selalu terlepas pandang terutamanya individu yang sedang menulis blog ini. Pesanan buat diri sendiri dan semua orang. 


Si Angsa.

Pabila

Setibanya di Hutam Simpan UKM
Pabila hati sudah memasang tekad untuk menjadi seorang Pengurus Sumber Manusia yang berjaya, ilmu yang ingin aku timba semakin terarah. Oleh sebab itu, saat pertama kali mendapat tahu tentang Persatuan Urusetia Pembangunan Sumber Manusia (UPSM) di UKM, aku terus tertarik untuk menyertai persatuan ini. Hasrat ini aku teruskan juga meskipun mengetahui bahawa penyertaan ini tidak membawa sebarang kepentingan berbentuk fizikal sama sekali seperti merit dan jam kredit. Ini semua kerana berbekalkan cita-cita aku untuk menjadi seorang Pengurus Sumber Manusia.

Dalam Persatuan UPSM ini, pelbagai input-input berguna bakal diajarkan kepada para pelajar baik berbentuk kuliah mahupun kem. Aktiviti pertama UPSM untuk ahli baru pelajar tahun satu ialah Malam Perkenalan UPSM. Agak mendukacitakan apabila aku tidak berpeluang untuk menyertai aktiviti ini kerana aku mempunyai kelas CITRA pada malam tersebut malahan setelah kelas pula aku mempunyai latihan bola keranjang.

Oleh itu, aku sama sekali tidak melepaskan peluang untuk mengikuti Kem Fasilitator 1 (KF1) yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di Hutan Simpan UKM. Jujur aku katakan, terlalu banyak yang aku belajar daripada kem ini. Pengisian-pengisian dalam kem ini telah benar-benar membina jati diri, mental dan fizikal yang cemerlang. Aku paling terkesan dalam sesi penubuhan kumpulan. Dalam sesi ini, banyak kumpulan telah menggunakan nama-nama yang tampak trendy dan mengikut peredaran zaman.

Ahli kumpulan Jujur sepanjang 3 hari 2 malam
Namun sebaliknya, perkara ini sama sekali tidak dipersetujui oleh Ketua Fasilitator di sana. Beliau benar-benar meningkatkan martabat Bahasa Melayu dengan mempersoalkan tentang jati diri kami sebagai orang Melayu yang belajar di Universiti KEBANGSAAN Malaysia apabila masih lagi menggunakan perkataan-perkataan Inggeris sewaktu menamakan kumpulan. Apa yang lebih dahsyat, mana-mana sahaja kumpulan yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai nama kumpulan mereka perlu menukar serta-merta nama tersebut. Jika tidak, kami tidak berpeluang sama sekali untuk membentangkan tentang kumpulan kami.

          Percaya atau tidak, aku telah pun mendaftarkan diri untuk ke Kursus Fasilitator 2 & 3 dalam cuti semester. Aku sangat teruja dan ternanti-nanti apa pula yang bakal diajarkan pada kem yang akan datang. Buat sesiapa sahaja yang membaca entri blog ini, gunakanlah peluang anda sebaik mungkin sebagai mahasiswa di mana-mana universiti sekali pun untuk mempelajari perkara-perkara yang berfaedah. Kurangkanlah masa rehat dan bersuka-ria anda semua sementara anda masih muda. Anda digalakkan untuk lebih aktif dalam mana-mana kelab, sekretariat atau persatuan sekalipun, kerana di sinilah anda bakal menambah kenalan di universiti yang sungguh besar ini.  


Si Angsa.

Marah

Hari terakhir pengumpulan data di Pasar MyFarm Outlet, Putrajaya
          Kerja lapangan pertama yang aku lakukan dalam semester satu ini ialah kerja lapangan bagi tugasan akhir semester subjek Mikroekonomi. Komponen yang dinilai dalam tugasan ini adalah berkenaan keanjalan dan cara peletakan harga bagi barangan-barangan mentah di pasar. Jadi kumpulan kami yang terdiri daripada 5 orang perempuan dan seorang lelaki telah memilih Pasar Basah Bandar Baru Bangi dan Pasar MyFarm Outlet di Putrajaya. Kami perlu mencatatkan harga ayam dan ikan di kedua-dua pasar secara berkala selama 7 minggu iaitu satu hari seminggu.  

          Perjalanan kami dalam bergerak secara berkumpulan berjalan lancar sehinggalah tiba waktu pembentangan. Percaya atau tidak, aku tidak tidur semalaman kerana kumpulan aku tidak bersedia apa-apa pun untuk pembentangan keesokan harinya. Ikutkan hati, mahu sahaja aku tidur dan meredah hari esok dengan carca marba. Tapi setelah memikirkan sedalam-dalamnya, hal tersebut hanya akan memuaskan perasaan ketidakpuasan hati aku. Namun, ia sama sekali tidak menyelesaikan masalah utama kes ini. Jadi aku membuat keputusan untuk mengorbankan diri berjaga pada malam itu demi menyiapkan tugasan tersebut. 

Hari pertama aku dan Syafiqah ke Pasar Bandar Baru Bangi dan bersama pemilik kedai ayam
          Mungkin hari ini hari mereka, mana tahu esok lusa hari aku pula. Tidak mengapalah. Punca kepada masalah ini ialah PIC (person in charge) yang bertanggungjawab sebenarnya tidak menyimpan data dengan baik yang sekali gus mengakibatkan kerja-kerja pembikinan laporan kajian terganggu teruk. Tidak mengapa, daripada data yang sedia ada itu, aku susun sebaiknya dan menambah sedikit data-data yang hilang. Akhirnya, aku berjaya juga menyiapkan laporan dan bersedia untuk pembentangan pada esok hari.

          Walau bagaimanapun, kelas telah dibatalkan secara tiba-tiba melalui whatsapp group kerana pensyarah kami mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah Ya Allah, kerana memberi ruang kepada ahli kumpulan kami melakukan penambahbaikan. Peluang yang ada ini tidak kami semua sia-siakan. Akhirnya kami mampu membentangkan laporan dengan baik, cuma laporan berbentuk video tidak bertepatan dengan kemahuan pensyarah. Akhir kalam, apa yang aku benar-benar belajar daripada kisah ini ialah untuk tidak mempercayai 100% kerja ahli kumpulan meskipun pembahagian tugas telah dilaksanakan. Semakan kerja yang berkala perlu untuk mengelakkan perkara-perkara “ad hoc”.


Si Angsa.

Mula

Gambar kumpulan Harimau
          Aktiviti pertama yang aku mula untuk turut serta ialah aktiviti KEMSIS, iaitu Kem Mahasiswa Mahasiswi FEP. Sebenarnya aku ialah orang terakhir yang mendaftar untuk kem ni. Entah kenapa hati tiba-tiba terdetik nak turut serta dalam kem ni. Bayaran pun diselesaikan dalam jangka masa yang singkat. Malam yang esoknya nak pergi, baru pm akak PIC untuk program ni. Alhamdulillah… ada tempat kosong. Hebatkan aturan Allah, kalau sudah ditulis yang aku akan sertai kem tu, tak kisah lah lambat mana pun aku daftar, pasti ada tempat kosong. Disebabkan kekosongan inilah, aku ternantikan-nantikan akan apa yang Allah mahu aku belajar dan kenal di sini.

Sementara menunggu sesi taklimat sebelum meredah hutan


          Biasalah, aktiviti mana yang ada baik sahaja tanpa ada kekurangan. Lagi-lagi, aktiviti yang diuruskan oleh manusia-manusia serba kekurangan seperti kita semua. Tapi tidak mengapa, kerana atas setiap apa pun yang kita lalui dalam hidup ini, sama ada baik ataupun buruk, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Jadilah orang yang optimis. Kalau nak cerita dari awal sampai akhir, maka pasti blog entri ni akan jadi panjang melebar. Jadi untuk dipendekkan cerita, aku kem ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam iaitu dari 14-16 Oktober 2016.

          Sepanjang di kem ini, aku banyak belajar benda baru dan apa yang lebih penting, kem ini telah berjaya membangkitkan semula semangat berpasukan dalam diriku ini. Hal ini mungkin kerana dah lama bercuti akibat menunggu keputusan peperiksaan keluar dan menunggu tawaran universiti. Aku merupakan ahli kumpulan HARIMAU. Di akhir kem ini, kami telah mendapat anugerah kumpulan paling kelakar. Haihhh… memang kelakar pun kami boleh dapat anugerah ni sebab bukan ke yang selalunya kelakar tu kumpulan lelaki? Kumpulan Harimau ni yang kumbangnya, cuma seekor dan yang lain semuanya kuntuman-kuntuman bunga indah. 

Denda yang kami terima kerana gagal menyelesaikan tugasan di checkpoint
          Sebelum bercerita dengan lebih panjang, suka untuk aku simpulkan dan peringatkan kepada semua rakan-rakan sebaya, adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, untuk benar-benar memanfaatkan masa dengan baik. Jika kita suka beralasan bahawasanya kita sibuk.. ingatlah bahawa kehidupan kita di dunia sentiasa akan sibuk. Tetapi jadilah orang yang bijak memilih atas urusan apa kita mahu disibukkan. Semoga urusan yang kita pilih adalah urusan yang bakal memanfaatkan dunia dan akhirat kita. Sekadar pesanan buat semua dan peringatan yang lebih besar lagi pada si penulis entri.


Si Angsa.

Thursday 29 September 2016

Aku

Hari Pertama Minggu Mesra Mahasiswa

          Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan tempat aku menyambung pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Belum cukup lama pun aku menetap di sini, kira-kira baru satu bulan. Banyak aral yang aku hadapi sepanjang berada di sini. Alhamdulillah, minggu pertama orientasi aku bersemangat dan aktif menjalani banyak aktiviti. Namun apabila masuk ke minggu kedua, aku jatuh sakit selama seminggu. Mujur di minggu ketiga ialah minggu Hari Raya Haji dan Hari Malaysia. Jadi aku berpeluang bercuti selama satu minggu. Naik minggu keempat, kesibukan sebagai seorang mahasiswi sudah mula terasa. Aku mengambil 10 subjek untuk semester 1 ini. 5 subjek kuliah dan 5 lagi subjek CITRA. Apa itu Citra? Jika nak diterangkan secara terperinci, mungkin coretan aku untuk entri pertama berjela-jela panjangnya. Tapi dalam bahasa mudah fahamnya, Citra ialah konsep koko di sekolah. Cuma apa yang berlainannya ialah, markah untuk Citra termasuk dalam pengiraan PNGK. Inilah hal yang paling bahaya kalau tidak memberi komitmen yang terbaik dalam Citra. Siapa tak mahu jadi pelajar cemerlang kan? Kalau bukan yang paling cemerlang sekalipun, tapi sekurang-kurangnya diri ini tergolong dalam kalangan pelajar cemerlang. Tujuan Citra ialah untuk memastikan setiap graduan yang lahir dari UKM merupakan seseorang yang syumul, iaitu cemerlang dalam pelajaran dan juga pengusaan kemahiran kendiri. PAYUNG MERAH, itulah slogan yang sering menjadi aspirasi kepada pelajar UKM untuk sentiasa tampil ke hadapan dan berdaya saing dalam segenap kelompok masyarakat. Dan kerana itulah juga, selendang yang saya gayakan dalam gambar di atas berwarna merah iaitu simbolik kepada "Payung Merah". 

          Berbalik kepada diri aku yang sentiasa ada pasang surut sepanjang berada di UKM, aku ingin berkongsi tentang sesuatu yang menarik yang aku belajar daripada subjek Pengantar Pengurusan. Puan Ratana Bt. Jabir, merupakan pensyarah yang mengajar subjek ini. Beliau telah menerangkan bahawa pengurus dalam zaman ini perlu menukar konsep atau dimensi cara pengurusan mereka, daripada mewujudkan sebuah organisasi yang bersiap sedia untuk berhadapan dengan satu-satu masalah yang tertentu kepada sebuah organisasi fleksibel yang sentiasa bersiap sedia dalam berhadapan kepada apa jua masalah. Hal ini kerana, kita tidak pernah tahu apakah bentuk masalah luaran mahupun dalaman yang bakal menyerang kita. Suka andainya untuk saya kaitkan dengan diri kita sebagai manusia. Contohnya, dalam masalah di universiti. Mahasiswa/mahasiswi selalunya, akan bersiap sedia untuk berhadapan dengan jadual waktu yang sibuk. Namun, ramai yang terlepas pandang faktor luaran lain yang juga boleh berlaku kepada diri kita sepanjang pengajian kita di universiti, misalnya sakit, ditinggalkan oleh kekasih, kehilangan ahli keluarga dan sebagainya. Jadilah orang yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang masalah dan mari tingkatkan daya penyesuain diri kita terhadap sekeliling. Biarlah apa sekalipun yang melanda, "hati gua tetap KENTAL, Bro!". Buka minda kita dengan lebih luas dan berfikir dalam konteks yang lebih tinggi supaya kita mempunyai pandangan yang lebih jelas terhadap perkara yang sedang berjalan di sekitar kita. 

:::Seseorang yang bahagia itu bukanlah dia yang hidup tanpa masalah, melainkan orang yang hidup bersama masalah tersebut dan menjadi lebih dewasa sambil mensyukuri dan menikmati segala apa yang dia punya.


SiAngsa.